Thursday, May 8, 2014

KEDATANGAN ISLAM

Islam adalah sebuah agama yang membawa rahmat kepada semua manusia. Ini kerana, Allah Maha Menyanyangi hamba-hambanya sehingga diturunkan Al-Quran untuk menjadi panduan kepada kita. Cuma persoalannya, adakah kita mahu mengikut apa yang telah disyariatkan atau tidak? Mari kita melihat permulaan cerita kedatangan Islam. Bermulanya sebuah era kedatangan Islam yang telah membawa kepada manusia satu kaedah yang lengkap dan sempurna dalam pendidikan jiwa, pemeliharaan generasi muda, pembentukan ummah, pembinaan tamadun serta mengasaskan kebesaran serta kemajuan. Ini semua bertujuan untuk membimbing manusia yang sesat dalam kegelapan syirik, kejahilan dan kesesatan, kepada cahaya tauhid mengesakan Allah, ilmu hidayat dan ketenteraman. 

Betapa mulia dan tingginya syariat Islam sehinggakan musuh-musuh Islam sendiri telah mengakui kewujudannya yang berterusan hingga ke hari ini. Mereka mengakui bahawa Islam adalah suatu agama yang kekal abadi. Professor Gastaf Lobon telah menyampaikan kata-kata Prof Libri, "kalaulah orang Arab tidak muncul di arena sejarah nescaya kebangkitan Eropah moden akan terlambat beberapa dekad". Ramai golongan terpelajar mengetahui pengakuan ahli falsafah Inggeris, Bernad Shaw, "Agama Muhammad telah mendapat penghargaan yang tinggi disebabkan daya kesesuaian yang amat menakjubkan. Ia merupakan agama tunggal yang mempunyai daya memproses aspek-aspek kehidupan yang berbagai-bagai. Pada pandangan saya, Muhammad patut digelar penyelamat manusia. Sekiranya ada seseorang memegang tampuk kepimpinan alam moden sekarang, pasti dia akan berjaya menyelesaikan segala masalah yang ada"

Syariat Islam bersifat rabbani. Sifat asasnya ialah syumul (menyeluruh) dan juga ia berterusan dalam keadaan sentiasa baharu. Adakah Islam dengan prinsip-prinsipnya yang syumul, dan pemberiannya yang sentiasa baharu itu merupakan suatu pendapat yang mutlak dalam pemikiran? Adakah ia sekadar teori-teori yang tercatat dalam buku-buku atau adakah ia terdapat dalam suatu ummah yang boleh dikesan dengan tangan dan boleh dilihat dengan mata. Mari kita lihat apa yang dikatakan oleh Sayyid Qutb rahimahullah; "Sesungguhnya nas yang bertulis tidak akan boleh berbuat apa-apa. Mashaf sahaja tidak boleh mengerjakan apa-apa, melainkan diusahakan oleh orang. Prinsip-prinsip tidak boleh kekal melainkan ia menjadi tindakan. Oleh sebab itu Muhammad SAW telah berusaha membentuk manusia, bukan sekadar menyampaikan dakwah dan nasihat. Baginda SAW juga berusaha untuk membentuk jiwa murni, bukan sekadar menyampaikan ceramah. Baginda SAW berusaha untuk membentuk ummah bukan untuk menghidupkan suatu falsafah. Idea itu sendiri telah diusahakan dan diuruskan oleh al-Quran al-Karim. Tugas Muhammad SAW ialah untuk mengubah idea itu kepada orang yang  boleh dirasai dengan tangan dan boleh dilihat dengan mata. Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah SAW telah berjaya. Baginda telah membentuk pemikiran Islam pada diri umat Islam dan mengubah keimanan mereka kepada amalan. Baginda juga telah mencetak puluhan buah kitab-kitab al-Quran, kemudian ratusan dan ribuan pula. Namun baginda tidak mencetaknya dengan dakwat sebaliknya dengan cahaya (nur) untuk mencetaknya di atas permukaan hati nurani. Kemudian baginda lepaskannya untuk berurusan sesama manusia dan menyampaikan Islam dengan perbuatan dan amalan seperti yang dibawa oleh Muahammad bin Abdullah daripada wahyu yang diturunkan oleh Allah." Allahu.. indahnya Islam.. 



No comments:

Post a Comment